Kenderaan 'glamour' meriahkan Summernats

15 August 2014

Summernats, bagi penggemar tegar perhimpunan kenderaan klasik bukanlah satu acara yang perlu diperkenalkan. Reputasinya menyeberang sempadan geografi, mengumpulkan peminatnya dengan cara tersendiri sejak kali pertama dianjurkan di Australia pada 1988. Kini, kemeriah acara besar itu akan membuat penampilan sulungnya dalam skala yang besar di Malaysia tahun ini.

Mungkin ada di antara pembaca yang sering menonton filem, video muzik, siri drama atau animasi kartun yang turut menampilkan kenderaan-kenderaan yang begitu eksotik dan unik. Dengan perhimpunan Summernats hujung Ogos nanti, sebahagian daripada kenderaan-kenderaan 'glamour' berkenaan akan dibawa ke Sepang untuk didekati oleh peminat-peminatnya.

Filem dan jentera klasik

Dahulu, jika anda inginkan pengalaman untuk menyaksikan kereta seperti De Lorian dari filem Back To The Future atau kereta-kereta hebat daripada filem Fast and Furious, anda perlu terbang ke Hollywood, California dan mengunjungi Universal Studios di sana.

Tetapi dengan usaha JPM Motorsport selaku penganjur perhimpunan Summernats di Malaysia yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini di Litar Antarabangsa Sepang, impian berkenaan hampir pasti menjadi kenyataan tanpa perlu untuk peminatnya terbang ke mana-mana bagi melihat model ikonik termasuk Oldsmobile dengan imej Doc Hudson yang berdasarkan filem animasi Disney.



Lebih menarik, pengunjung yang hadir ke festival yang diadakan pada hujung minggu itu berpeluang merasai pengalaman menaiki kenderaan dan mengalami sendiri adrenalin dari deruman enjin sambil dibawa berjalan di sekitar kawasan pameran. Pastinya ia merupakan peluang yang jarang-jarang dapat diperoleh.

Aktiviti sekeluarga

Pelbagai aktiviti lain turut akan berlangsung ketika perhimpunan Summernats Malaysia ini seperti 'Judging Pavilion' dan Cabaran Auto Saloon, di mana setiap usaha dalam memastikan kereta dan motosikal berada dalam keadaan terbaik dan menarik akan dipertandingkan.

Terdapat 13 kategori yang akan berlangsung untuk kereta antaranya; pengubahsuaian terbaik, 'best stance' dan kelab kereta terbaik. Manakala bagi motosikal pula, 10 kategori seperti 'cafe racer' terbaik, jentera Harley-Davidson khusus akan turut memeriahkan suasana.

Mereka yang berminat untuk menyertai sebarang pertandingan yang bakal diadakan dikehendaki hadir ke SIC pada hari Sabtu, 30 Ogos pada jam 9.30 hingga 11.30 pagi untuk ditempatkan mengikut kategori yang betul.

Penjurian akan dilakukan pada hari Ahad dan peserta yang ingin meletakkan kenderaan mereka semalaman di Summernats boleh berbuat demikian tanpa perlu risau mengenai keselamatan kenderaan anda kerana kawalan ketat akan dilakukan di kawasan arena.

Bagi peserta yang membuat pendaftaran awal sebelum 18 Ogos untuk pertandingan Judging Pavilion dan Cabaran Auto Saloon akan dikenakan bayaran sebanyak RM100 serta tambahan 10 tiket Summernats percuma yang bernilai lebih RM1,000 termasuk tiket percuma untuk malam berbeku pada malam minggu.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Summernats, Judging Pavilion dan Cabaran Auto Saloon, boleh layari www.summernats.com.my.

Credit: bhauto.my


Official Video